‘Mama pergi mana?’ Pertanyaan anak Joanna Felicia saat pengebumian meruntun hati

‘MAMA pergi mana?”

Demikian kata-kata anak sulung mendiang Joanna Felicia Rohna, Allesia Felice Haslie yang berusia empat tahun ketika upacara pengebumian Laskar Kanan Tentera Luat Diraja Malaysia (TLDM) itu di Kampung Engkaroh, Tebakang, Serian, Sarawak.

Tular di laman sosial TikTok suasana pilu menyelubungi pekarangan kediaman mendiang Joanna tatkala permata sulung itu memanggil ibunya dengan sayu.

“Mummy irak gepih (mama pergi ke mana)?,” kata anak sulung mendiang Joanna dalam bahasa Bidayuh sebaik melihat keranda ibunya diusung.

Allesia yang didukung bapa, Bintara Muda TMK, Haslie Ali, 33, dilihat turut melambat ke arah keranda bonda tercinta berulang kali ketika anggota TLDM dimasukkannya van jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Semasa acara pengebumian, gerak-geri Allesia yang seolah-olah tercari sosok ibunya terus mengundang sebak.

Ketika upacara doa, gelagat Allesia terus membuatkan ramai yang hadir sebak apabila berulang kali memanggil ‘mami’ sambil berjalan berdekatan keranda.

Malah beberapa kali bapanya dilihat menjelaskan sesuatu dan tidak dapat menahan air mata ketika dia memeluk anak perempuan mereka.

Selain Allesia, Joanna juga mempunyai seorang anak lelaki, Hovannes Haslie, yang berusia setahun.

Si kecil itu hanya mendiamkan diri ketika didukung oleh anggota TLDM wanita sepanjang upacara pengebumian itu.

Dalam temuramah dengan Suara Sarawak, suami Joanna, Haslie menyatakan mendiang isteri yang baik. Malah lelaki itu pasti akan merindui air tangan isterinya.

“Dia sentiasa bersama dalam susah payah membesarkan anak-anak. Mendiang seorang yang baik, sabar dan penyayang,” katanya.

Jasad mendiang Joanna terdahulu diterbangkan dari Ipoh dengan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Pangkalan Udara Kuching.

Sejurus tiba, jasad mendiang dibawa ke rumah keluarga suaminya di Kampung Engkaroh.

Selain Joanna, enam lagi anggota dan pegawai yang menaiki Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) ketika menjalani raptai untuk kali ketiga bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Armada TLDM terkorban.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*