Malaysia selangkah ke separuh akhir

HANOI: Malaysia mencerahkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2021 selepas menumpaskan Laos 3-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B, bola sepak lelaki di Stadium Thien Truong, sebentar tadi.

Semangat juang tinggi ditunjukkan pemain bawah 23 (B-23) negara sebaik sahaja wisel permulaan ditiup dengan merencanakan serangan di setiap sudut pertahanan Laos namun gagal untuk memecah kebuntuan gol.

Usaha anak-anak buah Brad Maloney akhirnya membuahkan hasil menerusi gerakan solo pemain kelab Belgium, KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin yang disudahi dengan rembatan kaki kirinya menerjah jaring untuk gol pertama pasukan negara pada minit ke-36.

Jaringan itu meningkatkan keyakinan skuad muda negara dan hasilkan rembatan menarik pemain tengah negara, Muhamad Syahir Bashah daripada luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Laos, Keo Oudone buat kali kedua pada akhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus meningkatkan tempo permainan dan memberi tekanan berterusan kepada pertahanan Laos menerusi serangan bertali arus ke kubu lawan.

Luqman Hakim sekali lagi berjaya menemui sentuhan penyudah pada minit ke-68, sekali gus mematikan semangat skuad kendalian Michael Weiss dan akur dengan kekuatan Harimau Muda negara.

Pintu gol Malaysia cemas seketika menerusi tandukan pemain tengah Laos, Phoutthasay pada minit ke-81 namun dinafikan dengan aksi cemerlang penjaga gol negara, Azri Ab. Ghani.

Tindakan skuad negara mengendurkan serangan membuka ruang kepada pasukan Laos merapatkan jurang jaringan menerusi sentuhan penyudah pemain gantian, Visith pada minit ke-85.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kembali menerajui kedudukan teratas Kumpulan B dengan mengumpul enam mata menerusi dua kemenangan dan akan berdepan Singapura, Sabtu ini serta menutup kempen peringkat kumpulan berdepan Kemboja, Isnin depan.

Pada edisi 2019 di Manila, barisan pemain negara pulang awal apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki adalah pada 2011 di Jakarta apabila mereka menewaskan Indonesia 4-3 menerusi sepakan penentuan penalti.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan Singapura menang tipis 1-0 ke atas Kemboja di venue yang sama. – UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*