Maklumat tambahan menantu Muhyiddin diserah kepada Interpol, kata KPN

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata maklumat tambahan Muhammad Adlan Berhan, menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sudah diserahkan kepada polis antarabangsa (Interpol).

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas Interpol untuk menyenaraikan nama Adlan dalam notis merah.

“Maklumat tambahan berkenaan sudah diperoleh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikembalikan semula kepada Interpol,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, permohonan memasukkan nama Adlan dalam senarai notis merah tidak dapat dilakukan kerana pihaknya menerima maklum balas daripada Interpol pada 19 Feb lalu meminta butiran lanjut mengenai Adlan.

Sebelum ini, media melaporkan Interpol menyenaraikan nama peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd, Mansoor Saat dalam notis merah pada 19 Feb lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dilaporkan berkata tuduhan tanpa kehadiran terhadap Adlan pilihan terakhir untuk tindakan perundangan berkait kes itu.

Tetapi, beliau berkata pihaknya belum mengambil pendekatan itu kerana yakin Adlan masih boleh dikesan dan balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan terbabit.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*