Makan rasuah RM13,480 : Kerani diheret ke mahkamah mengaku tidak bersalah

Seorang kakitangan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatan sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 untuk mendapatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Mersing didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise yang keseluruhannya berjumlah RM13,480.20 melalui dokumen Borang Kajian Pasaran yang mana dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Sebut harga terbabit adalah untuk melaksanakan pembekalan bagi alat-alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.

Ibu kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat JPS Daerah Mersing antara Ogos 2020 hingga November 2020.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserah ke mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 16 Mei untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*