Majlis Pemulihan Negara diketuai Muhyiddin Yassin dibubarkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dibubarkan.

Anwar juga mendedahkan bahawa pelantikan semula bekas ahli parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob, sebagai pengerusi Felcra telah ditangguhkan.

Bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat kabinet hari ini, perdana menteri berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan jumlah agensi kerajaan yang mempunyai tugas bertindih.

Katanya, antara badan yang dianggap mempunyai pertindihan tugas ialah MPN.

“MPN telah dibatalkan (kerana) itu satu pertindihan (tugas).

“Jawatan itu diwujudkan bagi memenuhi keperluan ketika itu,” katanya sebelum secara berseloroh bertanya kepada pemberita sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.

MPN ditubuhkan oleh kerajaan dengan Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi badan itu pada Sept 2021.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*