Keputusan Mohd Fadli Mohamed Salleh untuk bersara sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Selangor telah menarik perhatian beberapa pihak parti politik.
Perkara itu didedahkan sendiri individu yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli itu apabila dikhabarkan mendapat tawaran menyertai parti politik susulan keputusannya untuk bersara awal.
Lantang menyuarakan kritikan dan pandangan terhadap sistem pendidikan di Malaysia, namun khidmatnya sebagai tenaga pengajar berakhir selepas hampir 19 tahun mengajar di sekolah berkenaan.
Namun begitu, dia menafikan sebarang dakwaan akan terjun ke pentas politik, sebaliknya akan meneruskan usaha mendidik anak bangsa menerusi pendekatan tersendiri.
“Ramai orang komen, bila dah bersara ni, masuk politik dan jadi wakil rakyat. Saya nak beritahu, saya memang tak minat politik. Sampai hari ini.
“Walaupun ada tawaran-tawaran untuk suruh sertai parti, jadi pemuda dan sebagainya, nak dicalonkan sebagainya, saya tak nak. Saya memang bukan orang yang minat politik.
“Jadi kalau ada mulut orang-orang politik beritahu Cikgu Fadli berkaitan politik, tak ada. Saya tak berniat sedikit pun pun untuk jadi menteri pendidikan, wakil rakyat dan sebagainya,” katanya ketika sesi siaran langsung di Facebooknya pada Rabu.
Menerusi siaran yang berlangsung lebih 40 minit itu, Mohd Fadli menjelaskan punca sebenar dia mengambil keputusan bersara selain turut mendedahkan beberapa perancangannya untuk terus berkhidmat sebagai pendidik secara atas talian.
“Cukuplah saya sebagai rakyat biasa, sebagai orang yang cakna tentang isu pendidikan semasa. Rancangan saya selepas bersara, mungkin saya akan perbanyakkan buat buku latih tubi, kelas dalam talian, bersiaran langsung di Facebook dan Tiktok.
“Sebelum ini saya juga sebagai konsultan ‘unit trust’ dan sebagai ejen pelaburan emas jadi semua itu akan ‘cover’ gaji saya yang akan hilang dalam 15 tahun ni,” katanya.
Dalam pada itu, dia sempat menyatakan teguran tegas terhadap sistem pendidikan negara yang ketika ini menurutnya masih memerlukan perubahan.
“Jika ada perkara yang lemah, saya akan tegur macam biasa, saya tidak akan menghentam peribadi orang atas perbezaan parti.
“Sepatutnya saya rasa KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam perlu teliti dan kaji semula pekeliling yang menyekat guru bersuara, mereka hanya nak bersuara jika ada perkara yang salah dan mahu diperbetulkan,” katanya.
Untuk rekod, Cikgu Fadli pernah tular pada 2022 kerana dihadapkan ke Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kerana membuat pendedahan tentang kelemahan silibus pendidikan negara.
Dia bagaimanapun dilepaskan dan tidak dikenakan sebarang tindakan selepas didapati tidak bersalah dalam hal tersebut.
Antara kritikan lain pernah disuarakan termasuklah masalah kepadatan jadual sekolah sekali gus menyebabkan beban kepada murid untuk membawa buku teks dalam jumlah yang banyak.
Turut baca :
- “Ajak pergi sembahyang je pun…” Alif Satar seru tidak politikkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat
- {VIDEO} “Turut kedengaran jerit kesakitan…” Padah berpakaian ‘terbelah’ ketika ‘live’, remaja pengsan dipukul bapa
- “Saya tak buat apa-apa pun…” Nyanyi dangdut memang kena gelek, Baby Shima minta jangan kecam
Leave a Reply