Lupus hutang peneroka : Muhyiddin hanya umum tapi tak tunai janji

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melaksanakan janjinya untuk melupuskan hutang peneroka.

Beliau berkata, kerajaan pada 2021 hanya mengumumkan usaha untuk pelupusan hutang peneroka kepada FELDA, tanpa ada perjanjian bertulis dengan FELDA untuk menunaikan komitmen itu.

“Dulu Muhyiddin semasa jadi Perdana Menteri kata kerajaan akan bayar RM1 bilion setahun selama 10 tahun. Sepatutnya sudah mula bayar 2022. Tapi ia tak berlaku. Buah yang ditunggu tak jatuh-jatuh. Ia hanya janji, tapi tak laksana.

“Sebab tak ada hitam putih dengan FELDA untuk bantu selesaikan hutang yang banyak itu. (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim, (di bawah) Kerajaan Perpaduan baru-baru ini putuskan penyelesaian.

“Buat Perjanjian dengan FELDA untuk selesaikan sukuk. Kerajaan Perpaduan bagi komitmen bayar RM1 bilion setahun kepada FELDA untuk selesaikan hutang itu. Alhamdulillah FELDA lega dan boleh bantu lagi peneroka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pada ketika itu juga FELDA terpaksa berhutang RM9 bilion dalam bentuk sukuk untuk mengambil alih FGV Holdings Berhad serta membayar pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Maybank.

“Betul, 2021 diumum hutang peneroka kepada FELDA dilupus. Tapi FELDA pulak berhutang melalui sukuk untuk ambil alih FGV, bayar hutang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Maybank. Banyak tu..lebih RM9 Bilion. Macam mana FELDA nak bayar hutang?” katanya.

Muhyiddin hari ini mendakwa tuduhan dilemparkan oleh Anwar berhubung pelupusan hutang peneroka FELDA adalah satu pembohongan.

Ahli Parlimen Pagoh yang kesal dengan dakwaan itu menegaskan pelupusan hutang sudah dilaksanakan ketika beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan petang tadi menyangkal dakwaan Muhyiddin itu, dengan menyifatkan beliau baru sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang itu pada akhir bulan lalu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*