Luluhnya hati bapa tidak tergambar, anak sulung berusia 14 tahun tiba-tiba tidak mengenalinya – Jom! ketahui cerita sebenarnya.
Luluh hati seorang bapa apabila anak sulung berusia 14 tahun yang periang dan aktif tiba-tiba tidak mengenalinya dan isterinya berpunca daripada demam panas.
Segalanya bermula apabila Muhammad Aqeef Irmi Shahrizan, 14, secara tiba-tiba mengalami demam panas kira-kira dua bulan lalu ketika hendak ke sekolah.
Irmi Shahrizan Mohd Nasir, 41, berkata, apa yang lebih menyedihkan, anaknya itu kini hanya hanya mampu terlantar dan tidak lagi seceria dahulu apabila doktor mengesahkan otaknya telah dijangkiti kuman.
“Dua bulan lalu, ketika saya kejutkan Aqeef untuk ke sekolah, tiba-tiba seperti hilang ingatan dan tidak kenal saya sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka apabila diserang sawan.
“Selepas pemeriksaan lanjut lapan hari kemudian, doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam darah dan sudah merebak ke otak menyebabkan berlaku keradangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Rambai, di sini.
Bercerita lanjut, Irmi Shahrizan yang bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing berkata, dia sedikit lega apabila anaknya kini sudah mengenalinya dan isteri Suhaili Zainal, 41, walaupun lambat untuk berinteraksi.
“Cuma sekarang ini, apa yang merunsingkan saya adalah Aqeef masih tidak mampu makan, sebaliknya hanya bergantung pada susu khas sepenuhnya yang diberikan melalui tiub berharga hampir RM80 bagi satu tin 800 gram.
“Satu tin pula hanya cukup untuk dua hari dan setiap bulan dia memerlukan 15 tin berjumlah RM1,200 sedangkan pendapatan saya kurang RM1,800 sebulan manakala isteri pula tidak bekerja,” jelasnya lagi.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan dia dan isteri serta dua lagi anaknya berusia 11 dan 9 tahun terpaksa ikat perut untuk berjimat termasuk untuk membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan.
Selain itu, dia juga terpaksa menanggung kos sewaan kereta dua kali setiap bulan untuk membawa Aqeef menjalani fisioterapi kerana tidak mempuyai kereta selain anaknya itu yang tidak boleh duduk atau berdiri terlalu lama.
“Saya percaya rezeki itu datangnya dari Allah, tapi kalau ada bantuan dari mana-mana pihak di waktu ini saya amat menghargainya.
“Pendapatan saya ketika ini amat terhad untuk menanggung keperluan kami empat beranak,” katanya menahan sedih.
Sementara itu, Suhaili berkata, dia juga runsing memikirkan masa depan anak sulungnya itu yang sudah hampir dua bulan tidak bersekolah.
“Namun, saya reda dengan ujian Allah ini dan tidak putus-putus berdoa agar anak saya dapat kembali pulih seperti sedia kala,” katanya menitiskan air mata.
Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Suhaili di talian 011-53125048 atau melalui nombor akaun banknya 04995-41-10021143-1 (Bank Simpanan Nasional).
Leave a Reply