Letak racun dalam bubur pelajar, guru tadika dihukum mati

Seorang bekas guru tadika di China dihukum mati, minggu ini, selepas membunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan 24 yang lain dengan meletakkan racun natrium nitrit dalam bubur mereka empat tahun lalu, lapor media kerajaan pada Jumaat.

Wang Yun, 39, tidak berjaya dalam rayuannya terhadap hukuman itu yang pada mulanya dijatuhkan pada September 2020 oleh sebuah mahkamah di bandar Jiaozuo, wilayah Henan.

Khamis lalu, mahkamah sama mengesahkan identiti Wang, mengiringinya ke tempat pelaksanaan dan melaksanakan hukuman mati, kata kenyataan mahkamah yang dipetik media kerajaan.

Pada Mac 2019, Wang membeli sedikit natrium nitrit selepas terbabit dalam pertengkaran dengan rakan guru setugas di tadika.

Keesokannya, Wang meletakkan natrium nitrit di dalam hidangan sarapan pagi pelajar rakan sekerjanya itu sebagai membalas dendam angkara pertengkaran berkenaan.

Eight treasures porridge ialah bubur berasaskan beras dan berperisa manis yang sangat popular di China.

Pada Januari 2020, seorang daripada kanak-kanak yang menjadi mangsa meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ yang disebabkan oleh keracunan.

Mangsa selebihnya mengalami kecederaan ringan, lapor media kerajaan.

Kejadian membabitkan Wang adalah satu daripada beberapa kes kematian atau keganasan berprofil tinggi di tadika di China, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Isnin, seorang lelaki berusia 25 tahun disyaki menyerang sebuah tadika di wilayah Guangdong, China yang membunuh enam mangsa dan seorang tercedera.

Kejadian mencetuskan kebimbangan mengenai keganasan terhadap kanak-kanak di sekolah.

China menghukum mati ribuan pesalah setiap tahun, jauh lebih banyak daripada negara lain, menurut anggaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, Amnesty International.

Namun, China tidak menerbitkan data dan statistik mengenai hukuman mati.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*