{VIDEO} Ketua Polis Negara perjelas sebab Sanusi ditangkap jam 3 pagi

Ketua Polis Negara perjelas sebab Sanusi ditangkap jam 3 pagi. Tindakan menahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, jam 3 pagi tadi, dibuat selepas beliau dan pegawai khasnya tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan mengenai dua pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Selayang, Gombak, semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mendapat arahan tuduh kes itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) daripada Pejabat Peguam Negara pada pagi, semalam.

“Selepas kita dapat arahan untuk tuduh esoknya (hari ini), kita minta bantuan polis Kedah dan dimaklumkan beliau tiada di sana. Difahamkan beliau berada di Astro Awani pada 10 malam tetapi tiada kelibatnya di sana.
“Beliau menolak panggilan telefon daripada pihak kami yang mahu memaklumkan bahawa dia perlu hadir di mahkamah (bagi menghadapi pertuduhan itu).
“Malah, kita juga sudah membuat panggilan telefon kepada setiausaha politik serta setiausaha akhbar beliau, namun panggilan itu ‘direject’ (ditolak),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, tindakan tangkapan itu dibuat memandangkan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) adalah kesalahan yang boleh ditangkap.

“Seksyen 41 ini sebenarnya adalah kesalahan yang lazim ditangkap pada bila-bila masa. Kita juga ada pertimbangkan (tangkapan) bila kita rasa takut dia tidak hadir.

“Akta hasutan ini adalah tuduhan bagi perbuatan mempunyai kecederungan kebencian dan penghinaan serta membangkitkan rasa tidak setia yang terkait dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan dan Sultan Selangor berkaitan perlantikan Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes itu, terdapat ketidakpuasan hati Ahli Majlis Diraja yang juga tampil membuat laporan menjadikan jumlah laporan diterima setakat ini mencecah 58 laporan berkaitan kes terbabit.

“Kita melihat kepada tahap (keseriusan) siasatan bagi kes ini yang tidak setia terhadap raja-raja. Kalau isu ini dibiarkan, ia akan buka ruang orang lain menghina raja-raja.

“Selain itu, beliau juga (Muhammad Sanusi) tidak memberikan kerjasama untuk dirakam keterangan bagi satu laporan yang kami terima bagi kes lain pada 14 (Julai) lalu,” katanya.

Mengulas mengenai siasatan membabitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, siasatan sudah lengkap kira-kira 70 peratus.

“Kami sudah hantar kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara, semalam dan akan teruskan siasatan.

“Perlu diingatkan bahawa bagi dua kes ini walaupun sama juga disiasat membabitkan isu 3R (raja, agama dan kaum), namun sifatnya tidak sama.

“Kita kena lihat kes ini (kes Muhammad Sanusi) secara holistik kerana ia membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor, manakala dua lagi kes lain (Guan Eng dan Abdul Hadi) bukan berkait kes raja-raja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

 

{VIDEO} Ketua Polis Negara perjelas sebab Sanusi ditangkap jam 3 pagi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*