Lepas curi barang hampir RM1,000, lelaki ‘blah’ tinggal teman wanita

Lepas curi barang hampir RM1,000, lelaki ‘blah’ tinggal teman wanita.  Polis menahan seorang wanita disyaki cuba melarikan pelbagai barangan bernilai hampir RM1,000 di sebuah pasar raya di Tebrau, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dipercayai teman lelaki wanita itu masih diburu.

Beliau berkata, pasangan terbabit bertindak mengambil beberapa barangan di pasar raya itu sebelum keluar tanpa membuat bayaran di laluan kaunter pembayaran secara layan diri.

Katanya, pengadu memaklumkan menyedari kejadian itu pada 7.15 malam kelmarin, di mana pasangan terbabit cuba mencuri barangan di pasar raya.

“Pasangan itu dipercayai cuba keluar tanpa membuat pembayaran terhadap barangan diambil mereka yang semuanya bernilai RM952.19, antara barangan diambil termasuk pelbagai jenis coklat, cangkuk kenderaan dan pemegang telefon bimbit.

“Ketika cuba ditahan orang awam, suspek lelaki melarikan diri dengan meninggalkan suspek perempuan menggunakan sebuah kenderaan jenis Honda City dengan nombor pendaftaran WD9391A,” katanya dalam kenyataan.

Raub berkata, suspek lelaki melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa sehingga melanggar sebuah motosikal dan kereta lain yang diletak di parkir pasar raya berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek wanita warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tiga kesalahan lampau melibatkan kes dadah, dia kini direman selama empat hari.

“Manakala, polis sedang memburu suspek lelaki dikenali sebagai Muhammad Firdaus Shamsudin, mempunyai 10 rekod lampau bersabit kes curi dalam bangunan, penyalahgunaan dadah dan kes jenayah,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung suspek menghubungi pegawai penyiasat Nuraziera Miersha Jamaludin di talian 017 3498690,” katanya.

Lepas curi barang hampir RM1,000, lelaki ‘blah’ tinggal teman wanita

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*