Lelaki ugut tembak Akmal dicekup

Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas disyaki mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan bahawa Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh akan dibunuh susulan terlalu lantang berkaitan isu kalimah Allah pada stoking, baru-baru ini.

Suspek berusia 68 tahun yang merupakan pemilik bengkel kereta ditahan di sekitar kawasan Kandang, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 62 tahun yang mendakwa suspek telah mengeluarkan kata-kata ugutan berkaitan keselamatan Muhamad Akmal, pagi tadi.

“Pengadu telah pergi ke bengkel suspek pada Rabu lalu sekitar pukul 3 petang dan lelaki berkenaan telah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Muhamad Akmal kerana tindakannya dalam isu KK Super Mart.

“Suspek telah memberitahu bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Dr.Akmal Salleh) banyak lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak kasi mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengadu bagaimanapun mendakwa dia hanya berdiam diri dan tujuan laporan polis dibuat adalah kerana bimbang akan keselamatan Muhamad Akmal.

“Muhamad Akmal kemudian telah menelefon pengadu dan menasihatkannya supaya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah mengeluarkan kata-kata tersebut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*