Lebih separuh rakyat Malaysia lebih suka ‘biar papa asal bergaya’ setiap kali raya

SABAN tahun, orang ramai pastinya tidak mahu melepaskan peluang berbelanja sakan bagi memenuhi keinginan untuk memiliki barangan baharu.

Tidak hairanlah situasi itu menyumbang kepada punca peningkatan jumlah permohonan pinjaman pada awal tahun ini.

Berdasarkan hasil kajian Kenanga Research baru-baru ini, permohonan pinjaman meningkat ketara pada Januari 2024 iaitu sebanyak 40 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut Kenanga Research, terdapat kemungkinan penyediaan keperluan modal bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba mendorong peminjam berpotensi untuk membuat pinjaman.

Pada Januari 2024, sistem pinjaman meningkat sebanyak 5.7 peratus, sekali gus berada dalam unjuran 5.5 peratus hingga 6.0 peratus yang disasarkan pihaknya bagi 2024.

Jelasnya, pinjaman kediaman dan sewa beli membentuk sebahagian besar pertumbuhan pinjaman isi rumah, sementara segmen kad kredit pula menyaksikan peningkatan kukuh, besar kemungkinan mungkin untuk penggunaan Tahun Baharu Cina.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berpendapat, tidak dapat dinafikan, menjelang musim perayaan, perbelanjaan isi rumah akan meningkat antara satu hingga tiga kali ganda berbanding bulan biasa.

“Trend yang dibuat Kenanga Research bertepatan dan ia memang berlaku.

“Nama pun musim perayaan, orang ramai cenderung berbelanja lebih, jika tidak ada duit, mereka akan buat pinjaman.

“Untuk isi rumah yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi, mereka perlu memikirkan kaedah lain untuk membeli, hingga ada yang sanggup meminjam sama ada kad kredit atau pinjaman peribadi.

“Beberapa tahun ini pula tarikh pembukaan sekolah hampir dengan musim perayaan, jadi perbelanjaan akan berganda,” katanya.

Islam sememangnya menggalakkan umatnya untuk mengenakan sebaik-baik pakaian pada hari raya.

“Namun tidak semestinya kena pakai pakaian yang melampaui bajet ditetapkan, sebaiknya sentiasa bersederhana dalam berbelanja,” ujar Mohamad Fazli.

Beliau dalam pada itu turut berpandangan bahawa rakyat Malaysia dilihat kurang berkemahiran dalam merancang perbelanjaan bermusim termasuk hari raya dan persekolahan.

Katanya, tidak dinafikan, terdapat juga segelintir rakyat yang bertindak membuat perancangan perbelanjaan bermusim lebih awal, namun tidak berupaya untuk mengikutinya.

 Lebih separuh rakyat Malaysia lebih suka 'biar papa asal bergaya' setiap kali raya
Permohonan pinjaman meningkat ketara pada Januari 2024 iaitu sebanyak 40 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

“Apabila saya bagi ceramah, kebanyakan peserta mengaku ada buat (perancangan) tapi ramai yang tidak disiplin dan sukar mengawal nafsu untuk membeli-belah.

“Maknanya, ramai yang tidak walk the talk atau tidak ikut apa yang dirancang, ini yang akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan berlebihan.

“Cakap nak beli dua tiga barang, tapi tengok-tengok masa membeli, terlebih bajet pula.

“Misalnya ada yang sudah menetapkan peruntukan membeli barangan raya hanya RM200, tetapi pada hari kejadian, membeli-belah sampai RM400,” kongsi beliau.

 Lebih separuh rakyat Malaysia lebih suka 'biar papa asal bergaya' setiap kali raya
Mohamad Fazli

Mohamad Fazli turut menjelaskan, keadaan itu berisiko menyebabkan segelintir pihak mengambil keputusan untuk menangguhkan bayaran asas penting lain misalnya bil elektrik, air dan sebagainya.

Dalam masa sama, beliau berkata, ibu bapa khususnya perlu membuat perancangan awal agar ia tidak menjadi satu bebanan berlebihan buat keluarga.

“Lagipun kita dah tahu tarikh-tarikh perayaan dan musim persekolahan setahun sebelum, jadi ada banyak masa untuk buat perancangan sebaiknya.

“Ibu bapa juga sudah seharusnya tahu peruntukan pengagihan bajet untuk perbelanjaan sekolah anak-anak, belanja pulang ke kampung, duit raya dan sebagainya,” ulas beliau lagi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*