Lebih 70 maut dalam kebakaran, mayat ditemui bertimbun di pintu pagar keselamatan

Lebih 70 maut dalam kebakaran, mayat ditemui bertimbun di pintu pagar keselamatan.

Lebih 70 orang termasuk 12 kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran memusnahkan sebuah bangunan lima tingkat yang dijadikan penempatan haram, di tengah Johannesburg, semalam.

Pihak berkuasa Afrika Selatan memberitahu seramai 61 mangsa turut cedera dalam tragedi itu.

Mayat ditemui bertimbun di pintu pagar keselamatan yang ditutup sehingga menghalang orang ramai daripada menyelamatkan diri, kata seorang pegawai.

Ketua Perkhidmatan forensik di wilayah Gauteng Johannesburg Thembalethu Mpahlaza, berkata, sejumlah 74 mayat ditemui iaitu 24 wanita, 40 lelaki dan 10 lagi yang “melecur sehingga tidak dapat dikenali.”

“Seramai 12 kanak-kanak turut terbabit dalam tragedi ini,” katanya pada sidang media.

Pihak berkuasa bandar berkata, bangunan terbiar milik perbandaran di kawasan yang serba kekurangan dan lokasi jenayah itu dijadikan perumahan haram oleh penduduk yang kebanyakannya adalah warga asing.

“Saya bersyukur kerana masih hidup, terdapat ramai daripada kami berlari, cuba mencari pintu keluar dan ramai orang akhirnya meninggal dunia kerana terhidu asap,” kata Kenny Bupe, seorang mangsa yang terselamat.

Katanya, ketika kejadian, dia melawat seorang kawan di bangunan itu.

Lelaki berusia 28 tahun itu memberitahu ada mangsa terpaksa “melompat keluar” dari tingkap untuk menyelamatkan diri.

Saksi turut memberitahu ada ibu bapa mencampak bayi mereka ke jalan, berharap orang ramai menyelamatkan anak mereka.

“Ada orang menangkap bayi dan ada juga tilam yang disediakan untuk (mereka),” kata Mac Katlego, 25, yang tinggal di seberang jalan.

Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa yang mengunjungi tempat kejadian menegaskan, pihak berkuasa sedang berusaha untuk membantu mereka yang terjejas.

Beliau turut mengarahkan punca tragedi itu disiasat.

“Ini adalah tragedi, dirasai oleh keluarga yang orang tersayang mereka terkorban dengan cara yang mengerikan ini,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*