Larikan seorang lelaki, pegawai, anggota polis antara enam ditahan

Pegawai dan anggota polis antara enam ditahan kerana disyaki melarikan seorang lelaki tempatan dari sebuah kedai makan di Desa Petaling, Selasa lalu.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata semua suspek berusia 27 hingga 42 tahun itu ditahan di IPD Cheras, keesokan harinya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berumur 26 tahun mengenai kejadian itu pada 5.48 petang, hari sama.

“Dalam laporannya, mangsa yang tidak bekerja mendakwa dilarikan sekumpulan lelaki ketika berada di sebuah kedai makan di Desa Petaling, pada 3.45 pagi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras menahan kelima-lima pegawai dan anggota berkenaan termasuk seorang lagi suspek,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Zam Halim berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 365, Seksyen 342 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Siasatan terperinci sedang diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

“Semua suspek direman satu hari sehingga semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran dan ketenteraman awam.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi talian penting Polis Cheras di 03 92845050/5051, talian penting Polis Kuala Lumpur di 03 21159999 atau balai polis berdekatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*