Anggota Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, aktivis Wan Muhammad Azri Wan Deris antara individu yang mungkin akan dipanggil polis untuk membantu siasatan berkaitan ‘Langkah Dubai’.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menerima 43 laporan polis di seluruh negara berhubung klip video mengenai “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen”.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan tersebut, dan suspek utama adalah aktivis politik Raja Petra Kamarudin.
“Suspek ialah Raja Petra yang berada di luar negara. Dia bercakap mengenai kejatuhan kerajaan selama lebih 10 hari.
“Mungkin kita tidak dapat Raja Petra kerana dia berada di Manchester tetapi kita mungkin memanggil Papagomo (Wan Azri), Chegubard, dan Salim Iskandar. Ini kerana dia bercakap dalam TikTok live. Ini kita nak tahu,” katanya pada sidang medianya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, mendakwa wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.
Terbaru, beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.
Semalam polis menerima lapan laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan bertujuan menjatuhkan kerajaan.
Di Lembah Klang, antara laporan polis itu dibuat di IPD Putrajaya, Cheras, dan Dang Wangi.
Razarudin berkata siasatan dibuka di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Leave a Reply