Lambaian ‘akhir’ lima kru ke arah HOM-AW139 sentuh hati warganet

Sebuah hantaran di Facebook memaparkan gambar lima kru udara Skuadron 503 melambai ke arah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) menyentuh hati warganet selepas pesawat terbabit terhempas hari ini.

Helikopter itu dilaporkan berlanggar dengan helikopter FENNEC sebelum terhempas dalam kejadian di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook 503 Squadron yang bertarikh 19 Apr, pasukan berpangkalan di Kota Kinbalu, Sabah itu menghantar dua pesawat termasuk HOM-AW139 ke Lumut untuk menyertai latihan dan raptai sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 dijadualkan 3 hingga 5 Mei depan.

Ia turut disertai sembilan kru udara dan 11 juruteknik pesawat.

Satu daripada empat gambar dimuat naik di media sosial itu memaparkan lima kru melambai ke arah dua pesawat terbabit dengan keterangan menyentuh hati.

“Lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min masih mampu bersangka baik.”

Selain itu, pengendali Facebook itu turut memuat naik gambar kru udara Skuadron 503 yang akan menerbangkan HOM AW139 ke Lumut diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503 Muhammad Firdaus Ramli TLDM.

Dalam kejadian pagi tadi, kedua-dua helikopter itu yang berlepas dari Padang Sitiawan pada 9.03 pagi tadi bertembung semasa latihan lintas hormat sempena Hari TLDM ke-90.

Helikopter HOM-AW139 itu dilaporkan terhempas di Stadium TLDM, manakala FENNEC terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM.

TLDM telah menubuhkan lembaga siasatan untuk menyiasat punca kejadian.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*