KPDN siasat dakwaan pelancong dicaj RM120 untuk gunting rambut

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyiasat dakwaan seorang pelancong asing yang mendakwa dicaj RM120 di sebuah kedai gunting rambut di sekitar Bukit Bintang di sini.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata sekiranya dakwaan itu benar, tindakan tegas akan diambil terhadap tukang gunting rambut itu memandangkan perkara berkenaan melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Salahuddin Ayub

“Kita sentiasa memberikan nasihat berterusan supaya setiap peniaga mesti patuh dan memastikan servis yang diberikan sama ada kepada rakyat atau pelancong dari luar mestilah berpatutan, jangan mengenakan caj atau ambil peluang meraih keuntungan melampau,” katanya kepada pemberita.

Kejadian itu tular selepas pasangan dipercayai dari England memuat naik video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok memaparkan pertikaman lidah antara mereka dan seorang tukang gunting warga asing selepas dicaj RM120 untuk potongan rambut.

Mengenai pandangan Pengarah Urusan Pasaraya Mydin Ameer Ali Mydin yang menegur peniaga Menu Rahmah agar menghentikan mentaliti subsidi, Salahuddin berkata kerajaan akan meneruskan kajian mengenai pemberian insentif bagi peniaga berkenaan selepas sambutan Aidilfitri ini.

“Mungkin apa yang dikatakan Ameer itu dalam kapasiti beliau sebagai pemain industri kerana di pihak kerajaan bagi saya, biarlah kita buat satu kajian dahulu, kita perlu ada data, fakta yang tepat dan bertanggungjawab sebelum kita membuat apa-apa keputusan atau cadangan kepada pihak kerajaan,” katanya.

Ameer dilaporkan berkata golongan peniaga yang menyediakan Menu Rahmah diingatkan supaya berhenti daripada mengharapkan subsidi tambahan kerajaan dengan menjadikan pembabitan dalam program itu sebagai alasan.

Sebelum ini, Salahuddin menyebut KPDN akan memulakan kajian bagi memperhalusi insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah bagi membantu peniaga yang terlibat.

Terdahulu, beliau menyerahkan 50 Bakul Rahmah sumbangan Grab Malaysia kepada rakan pemandu dan penghantar Grab di sini, dengan sumbangan juga akan diserahkan kepada kira-kira 80,000 pemandu dan penghantar makanan di bawah syarikat itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*