Konstabel parah ditikam dalam operasi dadah

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis cedera parah ditikam di bahagian rusuk belakang sebelah kiri oleh seorang lelaki ketika menjalankan Op Tapis Khas di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan, di sini awal pagi semalam

Dalam kejadian pukul 3.20 pagi itu, mangsa yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian yang menimpa anggota berusia 22 tahun itu pada pukul 3.20 pagi.

Raub Selamat

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa dan rakan setugas yang lain sedang membuat pemeriksaan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Ketika anggota berpangkat konstabel bersama-sama rakan yang lain menjalankan pemeriksaan ke atas tiga suspek di lokasi kejadian, seorang suspek secara tiba-tiba cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan mangsa ditikam oleh suspek.

“Ketika pergelutan berlaku, empat anggota dan pegawai polis yang lain sedang memeriksa dua lagi suspek. Dalam kejadian ini suspek yang menikam mangsa berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.

Raub berkata, pihak polis kini giat memburu lelaki warga tempatan itu yang memakai baju lengan panjang berwarna hitam, berselipar dan ‘snowcap’ hitam serta pelitup muka warna hitam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta menghubung talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat, Inspektor Noor Azlinda Mohd. Khalid menerusi talian 017-2765250.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*