Kerap kondem di belakang, Rafizi cabar Syahir debat

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mencabar Ahli Parlimen Bachok dari Pas, Syahir Sulaiman untuk berdebat dengannya soal ekonomi Malaysia.

Cabaran itu dibuat selepas tawaran debatnya buat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak disahut.

Rafizi menyifatkan Syahir antara pemimpin muda parti itu yang paling banyak “kondem di belakang”.

“Jadi sekarang saya akan tawarkan kepada teknokrat paling hebat dalam PN, Ahli Parlimen Bachok nama dia Syahir.

“Pejabat saya akan utus surat secara rasmi, sebab dia banyak sangat kondem belakang-belakang ni.

“Kalau betul kamu anak jantan, datang ke pentas berdebat dengan saya,” katanya dalam program Jelajah Madani malam tadi.

Paling kurang kata Rafizi yang juga menteri ekonomi, Syahir perlu tunjukkan bahawa anak-anak muda dalam Pas dan PN lebih “jantan” dari senior-senior mereka.

Pada 26 Julai, Rafizi ketika menyampaikan ceramah Jelajah Madani di Sri Tanjung, Port Dickson, mencabar Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia sekiranya pemimpin PN itu berani.

Namun Azmin berdalih dengan meletakkan syarat Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

Pada 28 Julai pula, Rafizi mencabar Sanusi untuk berdebat dengannya dan menyifatkan Sanusi “panglima” paling berani ketika ini.

Cabaran itu juga tidak berani disahut Sanusi apabila mengatakan perdebatan tersebut tidak akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*