Kerajaan zina: Calon Perikatan Nasional ‘hina’ Agong, Sultan Kedah

Kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin bahawa Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk minggu lalu sebagai ‘Kerajaan Zina’ disifatkan satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata kenyataan Azman yang juga Exco Kerajaan Kedah itu turut menghina Sultan Kedah yang berangkat hadir dalam Mesyuarat Khas Raja-Raja sebelum memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim layak dilantik Perdana Menteri ke-10.

Tegasnya, sikap Azman itu amat keterlaluan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadapnya selain Azman sendiri patut memulangkan gelaran Datuk yang diberikan Sultan Kedah.

“Azman Nasruddin wajib pulangkan balik pingat Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) dan berhenti dari menggunakan gelaran Datuk.

“Kenyataan beliau bahawa Kerajaan Perpaduan ini adalah “Kerajaan Zina” satu penghinaan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong dan khususnya Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Sultan Kedah yang turut hadir Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berhubung pelantikan Perdana Menteri.

“Azman juga mesti disiasat di atas ucapan yang sangat kasar dan biadab ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Azman yang yakin akan ada isyarat jelas penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disifatkannya sebagai ‘Kerajaan Zina’.

“Kita akur kerajaan ini dibentuk atas nasihat Yang Di-Pertuan Agong, namun mereka tidak berpegang kepada prinsip yang dibawa parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkhinati pengundi mereka.

“Ahli BN dan PH telah ditipu, mana pergi terma “No Anwar, No DAP”, rasuah dan kelptokrat? Ini adalah ‘perkahwinan’ yang tidak direstui ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.

Turut baca :

Kerajaan zina: Calon Perikatan Nasional 'hina' Agong, Sultan Kedah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*