Kepala zakar terpotong: Mahkamah tolak permohonan kerajaan, 4 pihak tangguh ganti rugi

Kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah pada 7 April lalu, yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada pemuda berusia 22 tahun, yang menang dalam kes saman itu.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan Malaysia dan empat pihak lain untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman berhubung pembayaran ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan, 12 tahun lalu.

Selain kerajaan, empat pihak yang merupakan defendan ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa membolehkan mahkamah memberi penangguhan pelaksanaan penghakiman dipohon semua defendan.

“Alasan rayuan telah difailkan (oleh kelima-lima defendan) di Mahkamah Rayuan dan kesukaran prosedur untuk pengeluaran wang daripada Perbendaharaan bukanlah suatu keadaan yang khas dan istimewa,” katanya.

Hakim itu berkata, kerisauan berhubung wang yang diberikan kepada pemuda itu tidak dapat dikembalikan jika kelima-lima defendan menang dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan bukan merupakan keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah memberi penangguhan pelaksanaan penghakiman.

“Rayuan di Mahkamah Rayuan tidak akan mengambil masa yang lama untuk didengar. Jadi, tidak mungkin wang sebanyak itu (RM3.1 juta) dapat dibelanjakan dalam masa yang singkat. Oleh itu, permohonan tersebut ditolak dengan kos RM3,000,” katanya.

Kelima-lima defendan itu merayu terhadap keputusan Akhtar pada 7 Apr lalu, yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada pemuda berusia 22 tahun, yang menang dalam kes saman itu.

Dalam penghakiman bertulis dikeluarkan pada 27 Mei lalu, hakim itu berkata, kelewatan kakitangan perubatan merawat kecederaan lelaki itu telah melenyapkan harapan untuk menyelamatkan alat sulitnya.

Lelaki itu, yang memfailkan saman pada 19 Jul 2018 melalui ibunya, mendakwa proses bersunat pada 13 Dis 2010 ke atasnya tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sehingga menyebabkan seluruh kepala zakar terpotong.

Akibat kecacatan kekal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*