Isu tuntutan Sulu: Menteri, Peguam Negara antara dipanggil prosiding 11 Ogos ini

Jawatankuasa itu akan memanggil sekurang-kurangnya tiga individu penting sepanjang prosiding berkenaan.

Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen akan menjalankan prosiding berhubung isu tuntutan kumpulan Sulu ke atas aset negara bermula 11 Ogos depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pelaksanaan prosiding itu diputuskan selepas beberapa usul menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Ahli Parlimen, ditolak daripada dibahaskan di Dewan Rakyat.

Jelasnya, Jawatankuasa itu akan memanggil sekurang-kurangnya tiga individu penting sepanjang prosiding berkenaan.

Tiga individu berkenaan adalah Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Saifuddin dan Wan Junaidi secara umumnya akan hadir bagi menjayakan proses prosiding ini.

“Satu sesi prosiding akan mengambil masa sekitar dua jam berdasarkan pengalaman di negara luar.

“Sekiranya perlu, kita akan panggil saksi yang difikir akan membantu prosiding ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Salahuddin berkata, prosiding itu adalah sebahagian peranan Jawatankuasa berkenaan sebagai semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan.

Pada 12 Julai lalu, kumpulan Sulu dilaporkan merampas aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia.

Langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*