Kenyataan berbaur hasutan, Pesuruhjaya PAS Perak bakal berdepan laporan polis

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menyifatkan dakwaan Razman Zakaria yang mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan pentadbirannya sebagai berbaur hasutan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan berhubung kenyataan dibuat Pesuruhjaya PAS Perak itu kerana ia boleh mendatangkan kegusaran masyarakat.

“Ya, kalau sampai waktu kita rasa dia memberi gambaran tak elok dan menggugat keselamatan, jadi tak mustahil akhirnya nanti kita akan buat laporan polis, sebab itu adalah kenyataan berbaur hasutan.

“Ini sangat buruk jika Pesuruhjaya PAS negeri berbohong,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Saarani berkata demikian ketika mengulas dakwaan Razman yang mengatakan beberapa wakil rakyat kerajaan negeri datang sendiri berjumpa dengannya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan Perak.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang DUN Perak terbabit mengakui dia tidak dapat memberikan bukti mengenai dakwaan berkenaan.

Saarani juga sempat berseloroh dengan bertanyakan kepada semua Adun kerajaan yang hadir pada sidang media itu sekiranya ada yang mahu melompat ke pihak pembangkang.

“Siapa yang nak pergi ke sebelah sana angkat tangan? Kot-kot ada,” katanya yang kemudian disambut dengan gelak ketawa wakil-wakil rakyat.

Sementara itu Saaarani berkata, sebagai ketua pembangkang Razman sepatutnya lebih bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan dengan mengambil kira keyakinan dan kebimbangkan pelabur apabila kerajaan digambarkan tidak stabil.

“Saya tak pasti apa maksud Razman apabila ada wakil rakyat kerajaan ‘menemuinya’ sekali gus memberi gambaran seolah-olah wujud gerakan menjatuhkan kerajaan.

“Kalau terjumpa sewaktu makan kenduri, di majlis raya, atau terserempak di pasar malam itu bukanlah sengaja pergi jumpa dia.

“Tanpa sertakan sebarang bukti dan asas kukuh, kenyataan ketua pembangkang Perak itu sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran serta kestabilan dalam kerajaan Perak.

“Untuk itu saya dan rakan-rakan exco serta semua Adun kerajaan hari ini, sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendukung kestabilan dalam kerajaan, sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada,” katanya.

Kerajaan Perak kini diwakili 33 Adun daripada BN dan PH, manakala Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang mempunyai 26 Adun.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*