Kenapa Sanusi tak tuntut pajakan ketika PN jadi kerajaan, soal Guan Eng

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan alasan pemimpin PAS tidak membuat tuntutan berhubung bayaran pajakan Pulau Pinang ketika parti itu menjadi sebahagian kerajaan pusat di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan media hari ini, Lim merujuk kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena Ahmad Yahya, yang menurutnya mengikuti jejak Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor “menghina keluhuran Perlembagaan Persekutuan”.

“Sanusi kemudiannya dilaporkan meragui kedaulatan Pulau Pinang sebagai negeri ‘pajakan’ dan mahu bayaran ‘pajak’ yang lebih tinggi dari Putrajaya.

“Sanusi bebas untuk meminta bayaran yang lebih tinggi tetapi jangan melampau dan cuai sehingga permintaannya dilihat mencabar kedaulatan negeri Pulau Pinang seterusnya merendahkan Perlembagaan Persekutuan.

“Sanusi sepatutnya menjelaskan kenapa dia tidak membuat tuntutan ini kepada Putrajaya ketika PN memerintah,” kata Lim.

Tambah ahli parlimen Bagan itu, kenyataan pemimpin PAS berkenaan mirip mempertikaikan kerakyatan seorang warganegara Malaysia.

“Mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang, tiada bezanya mempertikaikan hak Pulau Pinang untuk wujud, berfungsi dan beroperasi sebagai sebuah negeri yang demokratik di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah membuat laporan polis terhadap Sanusi. Jika beliau gagal menarik balik kenyataan dan meminta maaf atas kenyataan yang telah mengguris perasaan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang, tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Pada 28 Feb lalu, Ahmad berkata, jika Lim mahu memperjuangkan kedaulatan Pulau Pinang, maka Kedah lah sebenarnya kedaulatan bagi Pulau Pinang.

“Semalam, Bagan membangkitkan tentang kedaulatan Pulau Pinang yang kononnya telah diceroboh negeri Kedah.

“Saya pun tidak pasti adakah Bagan pernah membaca pelbagai penulisan daripada perspektif sejarah mahu pun undang-undang mengenai kedudukan Pulau Pinang dengan Kedah,” kata Ahmad ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Menurut Ahmad, tuntutan Kedah adalah jelas, iaitu menuntut nilai pajakan yang setimpal kepada Kedah.

Okt tahun lalu, Sanusi dilapor berkata kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pajakan tanah di Pulau Pinang.

Menurutnya, nilai itu adalah wajar dan sesuai dengan nilai semasa berbanding royalti RM10,000 setahun yang diterima oleh negeri tersebut sejak sekian lama selain bayaran khas RM10 juta setahun bermula 2018.

Sanusi juga dilapor berkata bahawa Kedah sedang dalam proses menubuhkan sebuah pasukan yang terdiri daripada sejarawan, pakar akademik dan wakil persatuan sejarah bagi menentukan bahawa Pulau Pinang benar-benar “dipajak” daripada Kedah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*