JIKA anda masih ingat, beberapa tahun lalu, banyak kereta suka menggantungkan anak patung kecil di bawah bumper di belakang kereta mereka. Ketika itu, seakan menjadi trend menggantung patung-patung tersebut.
Anak patung itu kecil dan comel. Saiznya mungkin sebesar tapak tangan orang dewasa. Ia digantung di tengah-tengah bumper, dalam dua inci lagi hendak mencecah jalan raya. Bila kereta bergerak, ia terhayun ke kiri dan ke kanan mengikut pergerakan kenderaan. Ingat lagi?
Ada yang gantung Teddy Bear, Tasmania Devil, Sylvester, Tweety Bird, pendek kata semua jenis soft toys. Kadang-kadang sampai dah lunyai anak patung tu kena asap kenderaan.
Kenapa gantung belakang kenderaan?
Dikatakan trend ini dimulakan oleh masyarakat Thailand. Kisahnya begini…
Orang sana percaya bahawa roh orang yang mati dalam kecelakaan jalan raya akan berlegar-legar di lokasi kemalangan.
Disebabkan takut diganggu oleh roh-roh jahat ini, pemandu-pemandu di Thailand akan menggantung anak patung di belakang kenderaan masing-masing. Mereka percaya bahawa anak patung tersebut akan membuatkan roh-roh jahat, terutamanya roh kanak-kanak berasa gembira.
Dalam sebuah laman blog pelancongan Thailand dahulu pernah menceritakan tentang kepercayaan tersebut. Juga ada diterangkan bahawa budaya ini dipercayai dibawa oleh pemandu teksi di Bangkok yang menganggap anak patung tersebut akan memesongkan roh orang mati daripada terus-terusan mengganggu kereta mereka. Walaupun anak patung tersebut sudah lunyai dan kotor, mereka tak akan menanggalkannya.
Ini kerana, orang Thailand mempunyai sudut pandang yang berbeza tentang alam selepas kematian. Jika seseorang itu mati disebabkan kemalangan jalan raya, ahli keluarga si mati akan membina sebuah kuil kecil di tepi jalan, berhampiran kawasan kemalangan.
Kuil tersebut dibina sebagai simbolik rumah untuk si mati. Mereka percaya, roh si mati akan berlegar-legar di kawasan tersebut sebagai penjaga di jalan itu dan kuil berkenaan akan menjadi rumahnya. Sebagai ‘penjaga’ atau ‘penunggu’ di jalanan, roh-roh ini akan mengganggu kenderaan-kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu.
Disebabkan inilah, ramai pemandu di Thailand yang menggantung anak patung di belakang bumper kereta kerana tidak mahu diganggu oleh ‘penunggu-penunggu’ atau roh jahat di jalan raya.
Itulah antara kepercayaan masyarakat Thailand tentang trend menggantung anak patung comel di bahagian bawah belakang kenderaan mereka.
Turut baca :
Leave a Reply