Kejam! Anggota tentera didakwa rogol anak saudara 11 tahun

Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 41 tahun didakwa merogol mangsa yang ketika itu berumur 11 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah rumah bernombor Taman Semabok Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Disember 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba alat sulit bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam di lokasi sama pada 28 Disember 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius selaku bapa saudara mangsa dan mengambil kesempatan ketika mangsa dihantar ke rumah tertuduh untuk dijaga isterinya sepanjang waktu persekolahan.

Beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 beserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan saksi, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka berpendapatan rendah dan menanggung isteri serta dua anak berusia 11 dan 14 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*