{VIDEO} KSN ‘cabar’ KSU, KP perkenal satu inisiatif seperti ‘Menu Rahmah’

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mewajibkan setiap jabatan atau agensi kerajaan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu inisiatif sebagai menyokong agenda Malaysia MADANI.

Bercakap menyampaikan amanat kepada ketua jabatan dan penjawat awam, beliau berkata, pendekatan itu disarankan rentetan sambutan meluas rakyat terhadap pengenalan program Menu Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), baru-baru ini.

Dengan inisiatif sebegitu, beliau berkata, ia satu pendekatan yang baik bersifat ‘touchpoint’ kerana berjaya menyentuh nurani rakyat secara langsung.

“Bila bercakap mengenai Malaysia MADANI atau hasrat kerajaan atau Perdana Menteri, saya melihat contoh paling bagus dan boleh dijadikan contoh ialah Menu Rahmah, yang cukup popular di media massa.

“Rahmah ini kita boleh tengok, orang boleh rasa (dapat manfaat) terus. Jadi, Menu Rahmah ini satu contoh bagaimana ia berjaya dilaksanakan.

“Saya berharap setiap kementerian ada sekurang-kurangnya satu inisiatif. Justeru, saya mencabar KSU (Ketua Setiausaha), KP (Ketua Pengarah) untuk perkenalkan satu inisiatif daripada jabatan.

“Ini selari dengan KPI (petunjuk prestasi utama) yang kita janjikan. Setiap menteri telah diberikan kementerian dan diberikan KPI masing-masing.

“Saya minta, saya mewajibkan KSU, KP cadang kepada saya, kepada kerajaan, inisiatif bagi menyokong agenda Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di sini, hari ini.

Mohd Zuki dalam ucapannya turut menekankan soal kerjasama dan kesungguhan penjawat awam untuk menjayakan agenda kerajaan.

Tegasnya, penjawat awam perlu menyambut baik setiap agenda diperkenalkan kerajaan, selain tidak membiarkan Perdana Menteri dilihat seperti bekerja ‘berseorangan’.

“Tidak ada gunanya kalau Perdana Menteri sahaja yang bersungguh-sungguh memperkenalkan konsep MADANI ini, namun pada peringkat pelaksanaannya tidak disambut baik oleh kita semua sebagai penjawat awam,” katanya.

Beliau juga sempat memberi teguran kepada kementerian dan agensi kerajaan yang berkerja secara silo (bersendirian) sehingga rakyat gagal merasai perkhidmatan diberikan.

Memberikan contoh laman web kementerian yang tiada hubung jalin dengan kementerian lain, beliau berkata, cara itu perlu diubah dan menjadikan fungsi serta peranannya lebih menyeluruh.

“Konsep online (dalam talian) tidak lagi dirasai oleh rakyat sebab dalam konteks rakyat Malaysia ini, bila sebut online mereka nampak satu perkara iaitu WhatApps, Facebook. Sekarang kalau nak beli, dia akan pergi ke (aplikasi) Shopee. Itu onlinenye dan itu hasrat rakyat sebenarnya dan apa rakyat hendak.

“Bila sebut online, tekan sahaja dalam PC (komputer) ataupun android (telefon pintar) ia akan keluar semua peranan dan perkhidmatan agensi. Itu yang (kerajaan) tidak ada sekarang ini.

“Sebabnya, kita masing-masing bergerak secara silo. Agensi kita bukan tidak ada tetapi kalau nak pergi laman web Kementerian Pendidikan (KPM), ia hanya untuk KPM. Tidak ada link (pautan) dengan kementerian dan agensi lain,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*