Kehilangan jemaah Malaysia di Mekah akhirnya terjawab

Jemaah Malaysia, Rosli Salleh, 62, yang dilaporkan hilang di Mekah ketika mengerjakan umrah pada 10 Mac lalu telah meninggal dunia.

Perkara itu dimaklumkan anaknya sendiri, Muhammad Farid Rosli menerusi hantaran terbaharu di kumpulan Facebook, Group Umrah semalam.

“Assalamualaikum. Update (laporan) terbaharu, kami sekeluarga telah menjumpai ayah (Rosli) kami. Beliau telah meninggal dunia di sana (Mekah).

“Kami mohon tolong doakan untuk kesejahteraan ayah kami di sana, mohon kebaikan untuknya di akhirat dan semoga kami semua akan disatukan di syurga kelak. Amin Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Farid turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama membantu dalam misi pencarian bapanya itu.

“Kami sekeluarga mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau.

“Kami juga ingin berterima kasih atas segala pertolongan dan doa yang diberikan sepanjang pencarian ini. Terima kasih. Mohon jangan tanya tentang detail (terperinci), cukup di sini sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Muhammad Farid meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan bapanya apabila gagal dihubungi sejak 17 Mac lalu ketika mengerjakan ibadah tersebut secara bersendirian tanpa ejen.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*