Kecoh! DUN dah bubar tapi bekas Adun Bersatu enggan kosongkan pusat khidmat. Bekas Adun Gombak Setia dari Bersatu Hilman Idham mengecam kerajaan Selangor yang mengeluarkan surat arahan untuk mengosongkan pusat khidmat komuniti miliknya.
Hilman berkata notis pengosongan yang diterima semalam mengarahkan premis itu dikosongkan serta merta.
Katanya, pegawai penguatkuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak termasuk Majlis Perbandaran Selayang tiba di premis itu pada 3.50 petang hari ini untuk mengosongkan tanah itu tetapi gagal kerana mereka tiada kebenaran mahkamah.
“Saya ingin menegaskan bahawa alasan yang dikemukakan (untuk pengosongan) kerana tiada kebenaran kerajaan negeri untuk mengadakan Pusat Khidmat di atas tanah tersebut merupakan alasan paling tidak munasabah dan bodoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Hilman mendakwa Pusat Khidmat DUN Gombak Setia telah beroperasi di atas tanah berkenaan untuk tempoh lebih lima tahun dengan penuh pengetahuan kerajaan negeri.
Katanya, surat arahan pengosongan itu tidak ditandatangani oleh pegawai daerah Gombak tetapi hanya oleh penolong pegawai daerah bahagian penguatkuasaan.
Hilman juga mendakwa tindakan itu tidak mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan meskipun menggunapakai Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“Jelas tindakan ini adalah salah guna kuasa, ugutan dan vendetta politik oleh kerajaan Selangor yang dipimpin Amirudin Shari(menteri besar),” katanya.
Katanya, tindakan itu adalah langkah terdesak Pakatan Harapan menjelang PRN tidak lama lagi.
Hilman berkata, beliau juga mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa.
Leave a Reply