JKM dedah pengemis di Kelantan raih ‘hasil’ cecah lima angka sepanjang Ramadan

PASIR MAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendedahkan pengemis di negeri ini mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sepanjang Ramadan.

Pengarah JKM negeri, Said Sudip, yang mengesahkan perkara itu berkata berdasarkan hasil operasi bersepadu dijalankan mendapati seorang pengemis mampu memperoleh pendapatan melebihi RM300 sehari.

“Memang setiap tahun aktiviti ini menjadi trend pada Ramadan malah jumlah pengemis juga meningkat sama ada dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pendatang terutamanya dari Thailand.

“Antara alasan yang sering diberikan oleh pengemis ini tiada pendapatan, wang tidak cukup, kes mental, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir Sempena Program Kembali Ke Sekolah 2024 di Sekolah Kebangsaan Rahmat.

Said berkata, ada juga warga tempatan dan pendatang yang sihat tubuh badan berpura-pura sakit atau cacat bagi meraih simpati orang ramai dan sikap pemurah penduduk tempatan turut menjadi faktor peningkatan aktiviti mengemis.

JKM Kelantan menahan 25 pengemis berusia lingkungan 30 hingga 70 tahun dalam tiga operasi berkala sepanjang Ramadan ini dan satu operasi bersepadu dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan dan beberapa agensi penguat kuasa.

“Pengemis asing akan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut manakala amaran akan diberikan kepada pengemis tempatan bagi mengekang aktiviti itu,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*