‘Belum jumpa pil berani’ – Takut kantoi kahwin 2, punca ahli perniagaan tak mahu isi Padu

Ahmad Nizam Hamid menceritakan semula kisah mencuit hati rakannya

Macam-macam kebimbangan pihak yang tidak mahu mengisi Pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang akan digunakan untuk penyasaran semula subsidi bermula 1 April.

Walaupun kadar pendaftaran meningkat minggu lepas, masih terdapat pihak yang dihantui dilema tentang kredibiliti sistem itu, lebih-lebih lagi melibatkan isu data peribadi.

Namun lain pula bagi seorang ahli perniagaan di Temerloh, Pahang, yang tidak mahu mengisi sistem itu kerana bimbang kantoi kahwin dua.

Seorang peguam Ahmad Nizam Hamid, yang juga pengarah strategi Pakatan Harapan (PH) Pahang, menceritakan semula kejadian mencuit hati itu dalam Facebooknya hari ini.

Katanya, lelaki 50-an tersebut yang namanya tidak didedahkan, berkahwin kali kedua dengan pekerjanya secara sembunyi sejak tiga tahun lalu.

“Dia kahwin senyap-senyap di Perlis atau Terengganu, saya tak ingat.

“Sebab antara dua negeri itu kalau kahwin dua, tak perlu minta izin isteri pertama.

“Dia takut nak isi nama isteri kedua dalam Padu sebab takut isteri pertama dia tahu,” katanya kepada Malaysiakini.

Nizam bagaimanapun tidak memberikan nasihat apa-apa, selain berkata “Nantilah aku consult (runding dengan) Rafizi (Ramli) macam mana nak buat”.

Belum jumpa pil berani’

Sebelum itu Nizam menulis di media sosial bahawa lelaki itu belum jumpa “pil berani”.

Bagaimanapun, Nizam tidak mahu masuk campur hal rumah tangga kenalannya yang rumit itu.

“Saya hanya mampu menjawab yang saya tidak ada jawapan.

“Tak tahu nak berikan pendapat dan tak boleh nak nasihat apa-apa dalam bab ini tentunya dengan ketawa kecil,” memetik katanya di Facebook.

Nizam berkata, dengan jarak umur sebanyak 20 tahun, hasil perkahwinan kedua lelaki itu dikurniakan seramai dua cahaya mata, manakala isteri pertamanya pula seramai empat orang anak.

Isteri keduanya tinggal dan bekerja di daerah yang sama di Temerloh, Pahang, namun isteri pertamanya tidak pernah tahu kewujudan madunya, walaupun tinggal di daerah sama.

Isteri pertamanya berumur 40-an.

Kelmarin Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Siber Sektor Awam (CSIRT) bersiap siaga sekiranya berlaku kebocoran maklumat.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, bilangan pendaftaran Padu mencatat peningkatan kepada 7.7 juta setakat semalam, 5.4 juta pada 17 Mac–kira-kira seminggu lepas.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*