Jemaah haji berpakaian ihram berada di Padang Arafah kelmarin dalam kemuncak haji terbesar selepas pandemik Covid-19 memaksa bilangan mereka yang menunaikan ibadah berkenaan dikurangkan secara drastik selama dua tahun.
Jemaah yang rata-rata memegang payung ketika panas terik matahari, melakukan ibadah seperti berdoa dan membaca kitab suci al-Quran di Jabal Rahmah di mana Nabi Muhammad menyampaikan khutbah terakhir baginda.
Perhimpunan di Arafah merupakan kemuncak ibadah haji dengan kerajaan Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah kepada satu juta orang kali ini termasuk 850,000 dari luar negara.
Kelmarin, pihak berkuasa memberitahu, jumlah jemaah haji tahun ini mencecah 899,353 orang termasuk 779,919 dari luar negara.
Kebanyakan mereka tiba di Padang Arafah dengan berjalan kaki atau menaiki bas dari khemah-khemah berdekatan.
Mereka akan bermalam di kawasan berhampiran, Muzdalifah sebelum melontar jamrah.
“Saya sangat gembira berada di sini (kota suci Mekah). Ini adalah haji terbesar dalam era koronavirus tetapi ia belum cukup besar lagi.
Turut baca
- Empat lagi rakyat Malaysia terpedaya gaji lumayan di Kemboja dibawa pulang
- {VIDEO} “Masjid bukan tempat cari glamor…” Lelaki pakai songkok terlalu tinggi ke masjid dipersoal
- {VIDEO} “Kesal buat video ‘prank’…” Nick akui tidak boleh tidur di lokap, hati tak tenteram
“Sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan, seramai 10 juta jemaah haji akan datang pada tahun ini,” kata jemaah haji Mesir, Saad Farhat Khalil, 49, kepada agensi berita AFP.
Pada 2019, seperti tahun-tahun sebelumnya, sekitar 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan haji tetapi angka itu merosot dengan ketara kepada beberapa ribu orang pada 2020 dan 60,000 jemaah pada 2021.
Menurut media kerajaan Arab Saudi, kira-kira 21 peratus jemaah haji tahun ini adalah dari negara-negara Arab dan lebih 53 peratus lagi tiba dari Benua Asia.
Bilangan jemaah yang besar kali ini mencetuskan kebimbangan Covid-19 akan merebak semula, terutamanya selepas ramai jemaah haji tidak memakai pelitup muka ketika berada di Masjidil Haram, walaupun laporan menyebut bahawa pemakaian penutup muka di tempat suci itu adalah wajib.
Kebimbangan itu lebih ketara berikutan penularan semula wabak koronavirus di rantau berkenaan.
Semua jemaah haji pada tahun ini dikehendaki mengemukakan bukti vaksinasi dan ujian PCR negatif.
Namun, jurucakap kementerian kesihatan, Dr Muhammad al-Abdulaali berkata pada petang Khamis lalu bahawa setakat hari berkenaan, tiada kes Covid-19 dikesan dalam kalangan jemaah haji, walaupun tidak jelas sama ada ujian saringan dilakukan.
Ibadah haji adalah mencabar dari segi fizikal walaupun dalam keadaan ideal. Kumpulan jemaah pada tahun ini turut berdepan matahari panas terik dan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Kelmarin, suhu di Arafah mencecah 44 darjah Celsius, lapor stesen televisyen milik kerajaan, Al-Ekhbariya.
“Kami boleh bersabar dengan suhu tinggi dan cuaca panas. Lebih banyak kami bersabar, lebih banyak peluang untuk ibadah haji kami diterima,” kata jemaah haji Iraq, Laila yang berusia 64 tahun.
Leave a Reply