PETANG, tahun 2007, sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya mendapat arahan menghantar jenazah seorang wanita ke kampung halamannya di Bachok, Kelantan. Jenazah tersebut sedang diuruskan di Hospital Kota Tinggi.
Sebagai pemandu dan pengurus jenazah di Pejabat Agama Daerah Kota Tinggi, tanpa berlengah saya terus bergegas memandu van untuk mengambil jenazah tersebut.
Tiba di hospital, saya lihat jenazah sudah pun siap dimandi dan dikapankan. Hanya menunggu saya membawanya pulang ke Kelantan saja.
Ketika proses mengambil jenazah itu, saya ada berbual dengan beberapa orang rakan arwah yang hadir. Baru saya tahu yang arwah meninggal dunia di Mersing selepas terlibat kemalangan kereta bersama suaminya. Waktu itu, mereka dalam perjalanan pulang untuk beraya di Kelantan.
Akibat kemalangan tersebut, arwah meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Saya dimaklumkan lagi, yang keluarga arwah tak akan mengiringi saya membawa jenazah ke Kelantan kerana mereka semua berada di sana.
Keluarga arwah hanya akan menunggu saya di balai polis kampung tersebut untuk menuntut jenazah. Mereka buat begitu supaya dapat jimatkan kos dan masa, selain tak perlu turun ke Mersing.
LEBIH KURANG PUKUL 6 petang, saya seorang diri mula memandu ke Kelantan. Sepanjang perjalanan, keadaan jalan agak sesak. Ramai anak jati Kelantan yang tinggal di Johor mahu pulang ke kampung masing-masing.
Alhamdulillah, walaupun jauh dan keadaan jalan agak sesak, saya selamat tiba di balai polis Bachok, lebih kurang pukul tiga pagi.
Ketika saya tiba, keluarga arwah sudah menunggu di balai polis untuk melihat arwah buat kali terakhir sebelum terus dibawa ke tanah perkuburan. Lebih kurang pukul 4.00 pagi, jenazah selamat disemadikan.
Selesai urusan pengebumian, saya mula memandu untuk pulang ke Kota Tinggi. Ketika inilah satu kejadian pelik berlaku.
Begini… lebih kurang dua kilometer saya memandu meninggalkan tanah perkuburan tersebut, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kelibat seseorang sedang berdiri di bahu jalan sambil melambai-lambai tangan.
Tanpa berfikir panjang, kaki saya terus menekan brek dan van mula bergerak perlahan. Melalui lampu van yang terang menyuluh, saya terus memerhati.
Di tepi jalan itu berdiri seorang wanita, lengkap berbaju kurung. Tangannya melambai-lambai seolah-olah meminta saya berhenti.
Entah kenapa, walaupun di tempat asing dan pada waktu dinihari, tapi perasaan takut langsung tak ada. Saya fikir, mungkin wanita itu dalam kesusahan dan perlukan bantuan. Kesian pula kalau saya tidak membantunya.
Tanpa teragak-agak, saya menekan brek dan van berhenti di sebelah wanita itu. Sebaik cermin tingkap van diturunkan, wanita tadi bersuara.
“Abang nak ke mana?” soalnya perlahan.
“Nak balik Kota Tinggi,” jawab saya.
“Boleh saya tumpang? Tak jauh, depan tu saja,” pinta wanita tadi mengharap.
Mengenangkan sudah lewat pagi, perjalanan pula masih jauh lagi, saya mengangguk sambil mempelawa wanita tadi masuk. Sekurang-kurangnya ada juga teman berbual, walaupun sekejap saja. Tidaklah mengantuk waktu memandu.
Wanita berbaju kurung itu terus masuk dan duduk di kerusi penumpang. Pedal minyak saya tekan dan van bergerak perlahan. Saya tak memandu laju kerana risau terlepas dari destinasi yang ingin dituju wanita tersebut.
Sambil memandu, sesekali saya menjeling ke arahnya. Hendak juga saya bertanya kepada wanita itu, kenapa dia berjalan seorang diri lewat pagi begini? Bukankah bahaya berjalan sendirian di dalam gelap.
Tapi lidah saya seperti kelu dan segala persoalan itu berlalu begitu saja. Entah berapa lama wanita itu menumpang, saya tak pasti. Tiba-tiba saja dia bersuara.
“Abang berhenti depan tu, ya,” pintanya.
Serentak itu kaki saya menekan brek dan van berhenti di bahu jalan. Waktu itu juga, saya memandang sekeliling mencari-cari rumah sekitar jalan tersebut.
Tapi sebuah pun tak kelihatan. Cahaya lampu dari rumah juga tidak ada. Saya mula berasa pelik, yang saya nampak hanyalah pokok-pokok getah di kiri dan kanan.
Pintu van dibuka dan wanita itu melangkah turun. Sebelum pintu van ditutup, wanita tadi memandang saya sambil berkata sesuatu. Dan kata-kata wanita itu membuatkan saya tergamam.
“Terima kasih abang sebab bawa saya dari Mersing dan hantar saya balik kampung,” ucapnya jelas di telinga saya.
Mendengar saja kata-katanya itu, saya tergamam. Bulu roma saya mula terpacak dan meremang. Pada masa sama hanya dalam beberapa saat, wanita tadi terus ghaib. Saya cuba cari sekeliling van tapi kelibatnya langsung tak kelihatan.
Saat itu, saya terfikir tentang wanita tadi? Siapa dia? Bila masa pula saya tumpangkannya dari Mersing? Sejak dari Mersing tadi saya seorang diri dan jenazah perem…..
Belum sempat saya habiskan kata-kata itu, baru saya tersedar.
“Eh, jenazah tadi perempuan. Tu saja yang aku bawa!” bisik hati saya.
Walaupun kejadian itu agak menyeramkan tapi saya langsung tak takut. Mungkin sebab tugas saya yang sering berhadapan dengan mayat, membuatkan perasan takut hilang.
Pada masa sama, saya mula yakin, wanita yang saya tumpangkan tadi merupakan jelmaan kepada jenazah yang saya bawa. Sebabnya saya tak bawa sesiapa sejak dari sana.
Jenazah wanita yang saya bawa itu juga meninggal dunia di Mersing. Lagi satu selepas turun dari van, dalam beberapa saat saja dia hilang. Kalau manusia mustahil boleh ghaib sepantas itu.
SAMPAI DI KOTA TINGGI, perkara itu saya ceritakan kepada beberapa orang ustaz untuk mendapatkan kepastian. Mendengar cerita saya, mereka semua sepakat mengatakan apa yang saya jumpa itu kemungkinan qarin wanita tersebut.
Saya diberitahu, maksud qarin dalam bahasa Arab ialah rakan atau teman. Qarin ini asalnya daripada golongan jin yang mengiringi kelahiran seseorang sehingga ke akhir hayatnya.
Qarin juga ada yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu mati, rohnya akan ke alam barzakh manakala qarin akan terus hidup. Setiap kita juga mempunyai qarin termasuk para rasul. Begitu juga Rasulullah s.a.w.
Malah, baginda pernah bersabda lebih kurang begini, “Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemukan dengan seorang kawan daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat”. Sahabat bertanya: “Adakah engkau juga wahai Rasulullah?” baginda menjawab: “Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong aku, kecuali kepada kebaikan.”
Mungkin apa yang saya jumpa itu merupakan qarin baik wanita tersebut. Mungkin juga dia muncul dan mengucapkan terima kasih pada saya kerana impiannya tertunai. Walaupun sudah mati, hajatnya untuk pulang ke kampung halaman terlaksana.
Turut baca :
Leave a Reply