Jam Swatch dirampas tertera ‘LGBTQ’ di permukaan jarum

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata huruf “LGBTQ” jelas tertera di atas permukaan jarum jam tangan Swatch yang dirampas oleh kementeriannya awal bulan ini.

Menteri itu berkata model jam tangan serupa tidak dijual di negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Ia tidak dijual di negara berkenaan kerana mereka (Swatch) tahu sensitivi agama di sana.

“Jam tangan itu jelas tertera perkataan LGBTQ dan KDN bertindak atas aduan awam,” katanya seperti dipetik BH Online, hari ini.

Sebelum ini, Swatch berkata tiada rujukan kepada komuniti LGBTQ pada jarum jam tangan yang dirampas pihak berkuasa Malaysia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim “tersalah maklumat” mengenai perkara itu.

“Swatch tidak memasukkan sebarang rujukan kepada komuniti LGBT pada jarum jam Koleksi Pride tahun ini.

“Jam tangan berwarna-warni ini termasuk makna setiap warna Pride (kehidupan, penyembuhan, cahaya matahari, alam semula jadi, harmoni, semangat) pada jarum jam mereka dan dua gelung yang membentuk pelangi,” katanya.

Pada Khamis, Anwar berkata serbuan pihak berkuasa ke atas kedai Swatch baru-baru bukanlah mengenai warna jam tangan yang dijual di kedai berkenaan, sebaliknya berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Bagaimanapun, Anwar berkata dia tidak mempunyai butiran mengenai kes itu dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan penjelasan.

Serbuan terhadap kedai Swatch kerana mempamerkan koleksi Pride di seluruh negara berlaku pada 13 Mei dan 14 Mei lalu.

Koleksi jam yang dirampas itu terdiri daripada pelbagai warna pelangi, simbol yang diterima pakai oleh komuniti LGBT.

Dilaporkan bahawa pegawai KDN menyerbu kedai Swatch di Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Selanjutnya, lima lagi kedai Swatch diberi amaran – KTCC (Terengganu), Aeon KB, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Jam tangan “Koleksi Pride” pembuat jam tangan Switzerland itu dicipta untuk meraikan pergerakan ‘pride’ dan membawa mesej kesamarataan dan kepelbagaian.

Warna-warni pelangi melambangkan pergerakan LGBT, yang menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Swatch berkata firma itu kecewa dan prihatin dengan rampasan jam tangan berwarna pelangi itu.

“Kami lantang mencabar bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dan membawa mesej keamanan serta kasih sayang boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja,” kata ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Nick Hayek pada satu kenyataan kepada Reuters.

Syarikat itu berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*