Isu REE : Saifuddin dedah dokumen, gambar warga China bersama Sanusi

Isu REE : Saifuddin dedah dokumen, gambar warga China bersama Sanusi .

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bukti terbaru isu kecurian unsur nadir bumi (REE), termasuk gambar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama seorang warga China yang dikaitkan dengan kegiatan itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, gambar individu yang dipercayai So Loi Fat itu adalah salah seorang daripada dua pekerja mahir yang dibawa masuk Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

Selain itu, Saifuddin turut mendedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas yang dipohon dan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.

“Jelas ada permohonan Pas Lawatan Ikhtisas kepada dua warga China ini dengan majikannya adalah MBI. Kini penafian dibuat oleh pengurusan tertinggi perbadanan itu. Saya alu-alukan laporan polis dibuat kerana ini akan membolehkan siasatan terus dijalankan.

“Terang ada surat dari Menteri Besar dan CEO MBI dengan nama dua warga China yang saya bangkitkan berkali-kali. Menteri Besar harus bertanggungjawab menjawab soalan yang dibangkitkan. Jangan kalih pada isu lain.

“Ini ruang dia berikan penjelasan dari sudut tata kelola sebuah kerajaan. Mengelak bukan satu pilihan,” katanya pada sidang media di Pejabat KEADILAN Kedah

Isu REE : Saifuddin dedah dokumen, gambar warga China bersama Sanusi
Dokumen dan foto warga China bersama Muhammad Sanusi yang didedahkan Saifuddin semasa sidang media KEADILAN Kedah di Alor Setar . Foto Twitter Kumaran Rajamony

Saifuddin berkata, pendedahan itu adalah bagi memberikan gambaran kepada Muhammad Sanusi mengenai kepincangan pentadbiran beliau sehingga MBI dilihat terkait dalam kejadian kecurian bahan mineral itu.

Katanya, penafian daripada Muhammad Sobri mengenai keberadaan individu warga China dalam syarikat serta laporan polis Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI juga menimbulkan lebih banyak persoalan.

Sementara itu, beliau berkata, kedudukan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah dalam Lembaga Penasihat MBI juga menunjukkan adanya konflik kepentingan sehingga memungkinkan jabatan itu tidak membuka kertas siasatan ke atas rampasan lebih 360 guni bahan dipercayai REE pada Januari lalu.

Malah, beliau turut membidas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa beliau menggunakan kekuatan agensi penguatkuasaan bagi memberikan tekanan kepada pimpinan kerajaan negeri Kedah.

Isu REE : Saifuddin dedah dokumen, gambar warga China bersama Sanusi
Perincian maklumat pendedahan Saifuddin dipaparkan pada sidang media khas KEADILAN Kedah di Alor Setar. Foto Twitter Kumaran Rajamony

“Sanusi juga mengutip semua maklumat menggunakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bagi mengemukakan kritikan di pentas politik, kita tiada masalah.

“Kini, bila saya bangkitkan hujah politik, maka tuntutan saya adalah supaya beliau menjawab soalan ini.

“Beliau (Sanusi) mempunyai akses kepada MBI, boleh panggil pengurusan kanan dan dapatkan input bagi menjawab segala hujah. Perkara ini sudah dibongkar dan disuarakan oleh orang awam sebelum ini. Saya cuma susun semula,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif kepada MBI Kedah sehingga mengetahui seluruh perjalanan operasi projek.

Ia termasuk kedudukan dua warga China yang dibawa masuk ke negara ini oleh MBI Kedah untuk melakukan kerja meneroka REE di Bukit Enggang, Sik seperti dipersoal Saifuddin.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*