Isu fitnah : Pemimpin DAP heret ahli parlimen PAS ke mahkamah

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan dua lagi veteran parti memfailkan saman fitnah terhadap ahli parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad.

Ia berhubung dakwaan bahawa mereka mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Ong Boon Hua, yang juga dikenali sebagai Chin Peng, dan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Guan Eng, serta veteran DAP Lim Kit Siang dan ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Georgetown dua hari lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Sankara Nair mengesahkan bahawa salinan saman yang dimeterai itu sedang dalam proses untuk disampaikan kepada Siti Mastura.

Tiga saman itu adalah berhubung ucapan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura pada majlis kempen pilihan raya kecil parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, pada 4 Nov lalu.

Melalui tuntutan mahkamah, ketiga-tiga plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, pampasan, dan teladan, serta injunksi untuk menghalang defendan daripada terus mengulangi dakwaan itu.

Ketiga-tiga mereka mendakwa kenyataan Siti Mastura bukan sahaja tidak benar tetapi dibuat dengan niat jahat untuk memberi bayangan kononnya mereka cuba menjejaskan proses demokrasi dan keselamatan negara.

Menurut plaintif, kata-kata defendan cuba membayangkan mereka menimbulkan ancaman kepada agama Islam dan masa depan negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*