Ahli Parlimen UMNO sokong PN berdepan tindakan denda RM100 juta

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada Ahli Parlimen daripada parti itu akan menyokong Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan cuba dipujuk untuk bergabung dengan mereka bagi membentuk kerajaan.

Beliau memberi jaminan tiada wakil rakyat parti itu akan berpaling tadah menyokong PN yang mungkin mustahil memandangkan mereka telah menandatangani perjanjian sebelum PRU15, berkait dengan akta anti-lompat parti.

Menurutnya, menerusi perjanjian itu mereka yang ingkar arahan akan keluar Umno secara sukarela sekali gus perlu mengosongkan kerusi.

“Mereka juga tandatangan perjanjian kena bayar bon denda sebanyak RM100 juta kalau ingkar ketetapan parti,” katanya dalam ceramah mega perpaduan madani PRK Kemaman malam tadi.

Pada 23 Nov lalu, Presiden PAS Hadi Awang berkata PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin Umno yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

Beliau turut membayangkan pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di PRK Kemaman adalah persediaan untuk PN mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Umno mengetuai Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 30 Ahli Parlimen dan menjadi sebahagian kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim selepas PRU15.

PRK Kemaman pada 2 Dis ini menyaksikan pertembungan Samsuri dengan calon BN Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*