Isu Fitnah : Anwar heret Ahli Parlimen Pendang ke mahkamah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, berhubung kenyataan fitnah bulan lalu.

Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan SN Nair & Partners dengan menamakan Awang Solahuddin sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar berkata defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak campur tangan dengan tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

Beliau berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman.

“Defendan dengan sengaja berniat mencaci dan secara palsu menuduh plaintif mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan terpilih yang adalah satu kesalahan serius sekali gus menjadikan impak dan kesan fitnah lebih teruk.

“Defendan menyedari sepenuhnya bahawa perkataan fitnah akan diterbitkan di seluruh Malaysia dan dunia yang akan memburukkan lagi kerosakan kepada reputasi plaintif selain sewenang-wenangnya dan secara provokatif membangkitkan skandal dengan memanggil plaintif ‘bapa saman negara’ dalam sidang Parlimen pada 27 Februari lalu,” kata plaintif.

Justeru Anwar kemudian telah menuntut defendan untuk menarik balik kenyataan fitnah, memohon maaf, berjanji tidak mengulanginya dan membayar ganti rugi kepada plaintif pada 21, 24 serta 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, defendan menerusi surat peguamnya pada 27 Februari dan 2 Mac lalu menyangkal tuntutan plaintif.

“Surat terbabit akan dirujuk semasa perbicaraan kelak. Plaintif memohon relif terhadap defendan termasuk ganti rugi am, pampasan, rugi teruk dan teladan.

“Perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejen, pekerja dan wakilnya daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah.

“Faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman daripada tarikh tindakan sehingga tarikh penyelesaian penuh. Kos peguam dan anak guam, selain relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah,” katanya.

Sebelum ini pada 22 Februari lalu Anwar memfailkan notis tuntutan terhadap Awang Solahuddin menuntut permohonan maaf tanpa syarat berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan di lobi Parlimen.

Bagaimanapun sekirannya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan daripada Awang Solahuddin dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis, tindakan perundangan akan diteruskan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*