Isu air Kelantan : Pemimpin PAS ‘bertembung’ pandangan

Isu air Kelantan : Pemimpin PAS ‘bertembung’ pandangan. Isu peruntukan tidak cukup punca utama Kelantan berhadapan masalah bekalan air bersih, tegas Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada Khamis berkata faktor utama permasalahan tersebut adalah kegagalan tadbir urus Air Kelantan Sdn Bhd, walaupun soal peruntukan sememangnya sebahagian daripada isu itu.

Amar mempertikaikan kenyataan Nik Nazmi, mengatakan “isu kita yang besar adalah kewangan, bukan masalah pengurusan.”

“Cekap macam mana pengurusan tapi duit tak ada kamu boleh buat ke? Kamu bijak macam mana sekalipun, kamu tak ada duit kamu boleh buat?” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Nik Nazmi memberitahu pemberitahu bahawa kementerian sedia membincangkan soal peruntukan namun tiada siapa boleh pertikaikan aspek tadbir urus atau pengurusan.

“Berilah duit banyak mana pun, ia tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan,” katanya.

Nik Nazmi turut menambah menteri terdahulu, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam jawaban bertulis kepada Dewan Rakyat akui bahawa masalah air di Kelantan “bertitik-tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan AKSB yang tidak mampan.”

“Justeru menyalurkan wang semata-mata tanpa mereformasikan tadbir urus AKSB tidak akan selesaikan isu air Kelantan,” katanya di Twitter, dan menambah Putrajaya akan memberikan komitmen untuk membantu kerajaan negeri, namun ia harus menunjukkan komitmen untuk selesaikan isu tadbir urus AKSB.

Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS memberitahu FMT bahawa kos menukar paip-paip lama menelan kos RM3 bilion, dan pengendali air Kelantan akan “lega” sekiranya kerajaan boleh memperuntukkan RM2 bilion setahun untuk membolehkan ia menggantikan alatan.

AKSB anak syarikat Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Ia terbentuk selepas kerajaan negeri membeli keseluruhan saham dalam Kelantan Water Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama Yayasan Kelantan Darul Naik dan Thames Water PLC yang ditubuh susulan keputusan kerajaan negeri menswastakan pengurusan bekalan air di negeri itu.

Isu air di Kelantan kembali menjadi perhatian baru-baru ini selepas seorang wakil rakyat dilapor mengambil air daripada pili bomba untuk dihantar ke kampung yang memerlukan bantuan air.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*