Seorang wanita maut apabila kereta Proton Waja dinaiki bertembung sebuah treler membawa muatan baja di Kilometer 43.5, Jalan Johor Bahru-Mersing pagi semalam.
Mangsa, Masroha Ali, 37, maut di tempat kejadian, manakala suaminya, Mohd. Fazuan Abu Hassan, 38, mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pukul 8.10 pagi.
“Kejadian melibatkan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dengan sebuah treler jenis Scania yang juga dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan, iaitu laluan menghala ke Johor Bahru lalu bertembung dengan kereta yang dinaiki oleh pasangan suami isteri tersebut.
“Akibatnya, pemandu kereta mengalami kecederaan parah, iaitu patah kedua-dua kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, manakala isterinya mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000
hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II) Rafiee A. Karim berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT), ‘Emergency Medical Rescue Services’ (EMRS) dan ‘Fire Response Vehicle’ (FRV) untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pukul 9.30 pagi.
Leave a Reply