Salahuddin : Insurans Rahmah dilancar hujung Mei ini

Satu lagi inisiatif berkebajikan di bawah Payung Rahmah iaitu Insurans Rahmah akan diperkenalkan pada hujung Mei ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, ia merupakan satu lagi usaha bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) setelah beberapa perbincangan dilakukan dengan syarikat terlibat.

“Ini semua telah kita lakukan dengan penuh teliti. Sebelum ini kita telah lakukan pelbagai inisiatif antaranya Jualan Rahmah, Menu Siswa Rahmah bahkan sempena Hari Raya Aidilfitri, kita perkenalkan Servis Kereta Rahmah,” kata beliau semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini pada Ahad.

Salahuddin turut berkongsi bahawa usaha Kerajaan Perpaduan menerusi Payung Rahmah menampakkan perkembangan baik apabila kadar inflasi menurun daripada 9.6 peratus kepada 9.3 peratus.

Tambah Ahli Parlimen Pulai berkenaan, ia juga berjaya mencapai sasaran membantu sehingga 126,00 individu B40.

“Kini, dengan adanya inisiatif Jualan Rahmah, kita telah berjaya menguruskan 14,000 barangan dengan harga diskaun.

“Ini memberi impak yang sangat besar kepada isi rumah dan saya tidak pernah menyangka bahawa limpahan menunjukkan cahaya di hujung terowong.

“Mungkin bagi kita ianya kecil. Sardin, roti, mungkin tidak bermakna apa-apa. Tetapi rakyat menghargainya. Kecil tetapi bermakna,” kata beliau.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*