Islam terus berkembang di Negeri Sembilan walaupun ramai ADUN DAP, kata MB

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun

Islam terus berkembang di Negeri Sembilan walaupun ramai ADUN DAP, kata MB. Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menolak kebimbangan mengenai DAP berada dalam kerajaan negeri, dengan menyatakan Islam terus berkembang di negeri itu walaupun terdapat 11 wakil DAP dalam DUN.

Dalam jejak kempen di Taman Selasih bagi calon Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya Parlimen Padang Serai, Aminuddin memberitahu pengundi agar tidak terpengaruh dengan taktik pihak tertentu menggunakan isu perkauman dan agama untuk memburukkan DAP.

Ketua PH Negeri Sembilan itu berkata, kerajaan negeri terus membina masjid dan memberikan bantuan kepada sekolah tahfiz dan pelajarnya.

Penggali kubur di tanah perkuburan orang Islam turut menerima pemberian sekali RM1,000 daripada kerajaan negeri, tambahnya.

“Daripada 36 kerusi DUN, PH ada 20, dan DAP 11. Hanya ada tujuh orang ADUN Melayu, tetapi kita tiada masalah (dengan DAP),” katanya.

“Kita hormat antara satu sama lain dan tumpu kepada keperluan rakyat dan pembangunan negeri, bukan mana-mana individu atau parti. Kita perlu bantuan semua orang untuk bangunkan negara, bukan timbulkan ketakutan sesama sendiri.

“Memecahbelahkan (rakyat Malaysia) melalui sentimen perkauman dan agama tidak akan (bawa kita) ke mana-mana. Ia hanya akan memusnahkan kita, dan nak membetulkannya bukan ambil beberapa hari sahaja.”

Aminuddin berkata, kerajaan negeri stabil sejak dipilih pada pilihan raya umum 2018 (PRU14), tidak seperti negeri lain, antaranya Kedah, Perak, Johor dan Sabah.

Peguam Sofee Razak cuba mempertahankan kedudukan PH di kerusi Padang Serai menentang Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang) dan calon bebas K Sreanandha Rao.

Dalam ceramah yang sama, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar memberitahu pemimpin PN supaya memikirkan akibat daripada serangan peribadi mereka yang berterusan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sambil menyatakan bahawa Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berharap negeri itu tidak terpinggir kerana ia diperintah pembangkang, Mahfuz berkata, Sanusi dan pemimpin PAS yang lain tidak perlu mempunyai kebimbangan sebegitu.

“Saya yakin Anwar takkan pinggirkan Kedah atau negeri pembangkang yang lain,” katanya.

“Tetapi bagaimana PN nak berdepan Anwar sekarang apabila nak bangunkan Kedah? Bila pergi pejabatnya, nak keluar lif pun teragak-agak.

“Kenapa? Sebab terlalu malu nak berdepan perdana menteri selepas panggil beliau orang tak bermoral sebelum ini.”

Turut baca :

Islam terus berkembang di Negeri Sembilan walaupun ramai ADUN DAP, kata MB

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*