Infineon bina kilang di Kedah, bukti kepercayaan terhadap kerajaan – Anwar

Infineon Technologies AG (Infineon) mengumumkan rancangan untuk membina kilang di Kulim, Kedah bagi mengeluarkan 0.2 meter fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) terbesar di dunia.

Infineon akan membuat pelaburan tambahan sebanyak $5 bilion euro bersamaan (RM24.5 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang dalam fasa kedua pembinaan modul tiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di sini berkata, beliau mengalu-alukan pengumuman pelaburan daripada Infineon yang telah membuktikan kepercayaan mereka terhadap Malaysia.

Katanya, pengumuman ini adalah lanjutan daripada perbincangan beliau dengan pihak syarikat iaitu Ketua Pegawai Operasi, Dr. Rutger Wijburg pada 24 Julai lalu.

“Sejak lima dekad yang lalu, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim, Kedah dan melaksanakan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip di Batu Berendam, Melaka.

“Keyakinan berterusan Infineon terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

Jelasnya, ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik.

“Pengumuman ini juga selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang mensasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*