Ibu tunggal nangis, sujud syukur terlepas tali gantung

Seorang ibu tunggal menangis dan bersujud syukur terlepas hukuman gantung, selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6kg.

Hakim Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, yang juga ibu kepada empat anak.

“Selepas meneliti dan mengambil kira laporan forensik dan analisis DNA pada sikat dan tuala mendapati bukan saja DNA tertuduh dan orang kena tuduh dua, tetapi terdapat orang lain yang tidak dikenali.

“Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di pangsapuri tersebut bersambung dengan bilik yang dijumpai dadah tersebut. Didapati juga beberapa orang dan set kunci dijumpai yang mempunyai akses ke bilik utama tersebut,” kata Anselm.

Mahkamah turut membebaskan wanita itu daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Huda Humairah bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah seberat 20.25g dan dijatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula tarikh tangkapan 13 Okt 2018.

Penjual buah itu didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di kawasan letak kenderaan dan sebuah unit pangsapuri di Pinggiran Bunga Raya di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12 (2) ADB dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Perbicaraan bermula 15 Sept 2020 dengan 19 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilarif Mohd Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*