Ibu mengaku beri susu campur syabu kepada anak 16 bulan

Sepasang suami isteri yang terlibat dalam insiden tersilap membancuh susu anak lelaki mereka berusia 16 bulan menggunakan cecair syabu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh wanita berusia 34 tahun mengaku bersalah namun suaminya yang berusia 40 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

“Saya mengaku bersalah, tapi saya tidak sengaja puan (beri minum susu mengandungi dadah),” kata wanita itu.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 13 Mac ini bagi fakta kes dan jatuh hukum untuk tertuduh wanita.

Pasangan itu didapati melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka dengan memberi minum air susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan bayi itu mengalami ‘allegedsympathomimetic drug ingestion’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Medan di sini pukul 6 petang pada 19 Februari lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin mencadangkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan atau perkara lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh wanita yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja malah anak-anaknya masih memerlukan di rumah.

Sementara suami wanita itu yang merupakan peniaga air balang merayu perlu menangung anak-anak yang masih bersekolah, termasuk menjaga ibu bapanya.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Hakim Syahliza membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

“Mereka juga perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi, sehingga kes ini selesai,” kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mac ini untuk fakta dan hukuman bagi tertuduh wanita dan tarikh sama sebutan semula kes bagi suami wanita itu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*