Pemuda Amanah menggesa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu penghapusan hutang peneroka Felda.
Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminolhuda berkata Muhyiddin perlu berbuat demikian setelah berkata Anwar menipu apabila berkata presiden Bersatu itu tidak melupuskan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion pada 2021 ketika menjadi perdana menteri.
“Sewajarnya Muhyiddin dengan segera memfailkan saman fitnah terhadap perdana menteri kerana ini jelas merosakkan reputasinya seolah-olah dia sendiri telah menipu ratusan ribu peneroka Felda kononnya hutang Felda dilupuskan pada tahun 2021, sedangkan apa yang dibuat hanyalah mengumumkan dasar tanpa membuat tindakan pelaksanaan sewajarnya.
“Sudah tentu Muhyiddin tidak mahu digemburkan sebagai penipu bangsa, lebih-lebih lagi hampir 100 peratus peneroka Felda ini adalah bangsa Melayu yang mungkin telah tertipu dengan janji ini dengan mengundi PN pada PRU15 yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin dalam satu kenyataan baru-baru ini membidas Anwar kerana “berbohong” berhubung langkah kerajaan melupuskan hutang peneroka Felda.
Dia berkata hutang peneroka sebenarnya sudah dilupuskan oleh kerajaan pimpinannya pada 2021.
“Anwar menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda. Ini satu pembohongan besar,” katanya.
Anwar kemudiannya menegaskan sekali lagi bahawa Muhyiddin tidak pernah melaksanakan langkah untuk melupuskan pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.
Katanya, memang terdapat persetujuan untuk memansuhkan hutang peneroka Felda, tetapi peruntukan itu tidak dibentangkan dalam belanjawan negara pada 2021 dan 2022.
Pengerusi PH itu berkata dia meluluskan pelupusan itu pada penghujung Jun tahun ini.
“PN tak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. I stand by this record. Hanya dalam Belanjawan Madani untuk 2023, saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang hutang peneroka jumlahnya RM8.3 bilion ini,” katanya pada majlis ‘Temu Anwar’ di Kedah semalam.
Leave a Reply