Hina agama: KDN tiada perancangan tubuh pasukan khas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pihaknya tidak merancang untuk mewujudkan satu pasukan khas bagi memantau isu hina agama di negara ini.

Hina agama: KDN tiada perancangan tubuh pasukan khas
Datuk Seri Hamzah Zainudin

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pasukan yang ada di Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mencukupi bagi memantau isu berkenaan.

Beliau berkata, PDRM adalah agensi yang paling cepat bertindak sekiranya wujud isu hina agama termasuk melakukan siasatan, tangkapan dan pendakwaan.

“Hina agama bukan sahaja membabitkan agama Islam, malah penghinaan kepada mana-mana agama juga tetap menjadi satu kesalahan.

“Justeru, kita akan mengambil tindakan segera terhadap pelaku jika didapati menghina agama di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen Tahun 2022 di sini hari ini.

Baru-baru ini, beberapa individu tempatan menimbulkan kegusaran awam khususnya kepada umat Islam apabila dikesan menghina agama Islam di media sosial.

Kes pertama membabitkan seorang wanita apabila videonya tular kerana menghina Islam di pentas komedi sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala teman lelakinya pula dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Selain itu, seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan turut didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini kerana menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.

Malah beberapa hari lalu, dua kes hampir sama turut dilaporkan masing-masing di Kelantan dan Terengganu membabitkan lelaki tempatan.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*