Mahkamah Sesyen Taiping mendenda seorang peniaga dalam talian RM23,000 selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik mengenai mangsa nahas helikopter terhempas di Lumut, Perak, Selasa lalu.
Muhammad Saifuddin Shafik, 36, turut memohon maaf secara terbuka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di depan Hakim Nabisha Ibrahim.
“Secara tulus ikhlas, saya mohon maaf kepada semua ahli keluarga mangsa dan anggota tentera,” kata Saifuddin.
“Saya memang amat menyesal dengan tingkah laku saya. Di sini saya (juga) ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada mana-mana orang awam dan seluruh rakyat Malaysia amnya yang terkesan dengan ‘posting’ saya.”
Katanya, hantaran itu tidak wajar dilakukan sesiapapun dalam keadaan tragedi sedemikian.
Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan, jika gagal membayar RM23,000. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia bertembung dan terhempas ketika menjalani raptai sempena lintas hormat sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 5 Mei ini.
Tragedi pagi Selasa di Pangkalan TLDM Lumut itu mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya, termasuk tiga wanita.
Sementara itu, di luar mahkamah, peguam Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya membuat aku janji di mahkamah akan menyahaktifkan akaun X bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Dia telah mengambil iktibar dan pengajaran. Jadi, anak guam saya memohon suatu penutupan ke atas kemelut dan isu ini.”
Turut baca :
Leave a Reply