Guru agama rotan murid dengan paip PVC ditahan

Seorang guru agama ditahan polis selepas disyaki merotan seorang pelajarnya di beberapa bahagian badan dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) dua minggu lalu.

Kejadian yang berlaku di sebuah sekolah madrasah dekat sini menyebabkan murid berusia lapan tahun itu mengalami lebam di punggung dan pinggang.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, polis telah menahan seorang lelaki yang merupakan tenaga pengajar di sekolah terbabit.

Menurutnya, penahanan suspek berusia 27 tahun itu dilakukan selepas tidak sampai 24 jam laporan dibuat ibu angkat mangsa pada jam 9.24 malam, 11 November lalu.

“Pengadu seorang pengusaha taska di Pulau Pinang mendakwa datang ke madrasah tersebut secara mengejut untuk membawa anak angkatnya yang merupakan kanak-kanak warganegara Indonesia untuk makan. Sebaik tiba di kedai makan, anak angkatnya itu mengadu sakit semasa duduk.

Turut baca :

“Pengadu kemudiannya terkejut melihat kesan lebam pada tubuh mangsa dan terus datang ke Balai Polis Sik untuk membuat laporan.

“Susulan itu, kira-kira jam 10.38 pagi keesokan harinya, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun yang merupakan tenaga pengajar di madrasah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Abdull Razak, siasatan awal mendapati suspek menggunakan sebatang paip pvc yang mengakibatkan mangsa mengalami lebam serta bengkak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*